Powered By Blogger

Friday, March 19, 2010

TEORI BIG BANG: ILMU FIZIK DAN KEBENARAN AL-QURAN



Dalam fizik kosmologi, Big Bang merupakan teori saintifik yang mengatakan alam semesta muncul dari keadaan yang tumpat dan panas, kira-kira 13.7 billion tahun lalu.

Secara mudahnya, kita boleh bayangkan Big Bang seperti bunga api yang kita lihat pada malam sambutan kemerdekaan. Percikan-percikan bunga api di sekeliling titik letupan tadi boleh kita anggap sebagai galaksi, dan titik letupan sebagai Big Bang.

Pada 1916, Albert Einstein memperkenalkan teori kerelatifan (theory of relativity) dan pada ketika itu umurnya baru 26 tahun. Teori ini membuka lembaran baru dalam bidang sains. Berdasarkan teori ini, George Lemaitre, seorang ahli matematik dan juga paderi Katolik berbangsa Belgium menerbitkan persamaan yang mencadangkan bahawa galaksi-galaksi sentiasa bergerak menjahui satu sama lain.Teori ini menjadi asas terbentuknya teori Big Bang.

Teori Kerelatifan oleh Einstein yang membawa pada terbitnya teori Big Bang ini, sedikit sebanyak membuatkan Einstein tidak senang. Jika objek-objek di alam semesta bergerak saling menjahui, maka pastinya sebelum ini objek-objek ini berada berdekatan. Dan jika alam ini sedang mengembang, maka pastinya alam ini ada permulaan. Seolah-olah tidak dapat menerima teori alam ini ada awalan, Einstein kemudiannya memperkenalkan ‘fudge factor’ yang mencadangkan alam semesta ini tiada permulaan dan tiada pengakhiran (steady state).

Namun, pada 1929, cerapan yang dilakukan oleh Edwin Hubble mendapati terdapat cahaya merah (red shift) di sekeliling objek di luar galaksi Bima Sakti. Jika merujuk Doppler effect, kita boleh kata perubahan warna di sekeliling objek-objek ini menunjukan ia sedang bergerak menjauhi kita. Penemuan ini selari dengan teori Big Bang yang dicadangkan Lemaitre.

‘hari tanpa semalam’

Ketika itu, kebanyakan saintis dapat menerima bahawa alam semesta ini sedang mengembang. Tetapi, mereka menolak implikasi yang menyatakan alam ini mempunyai permulaan. Jika kewujudan alam ini mempunyai permulaan, begitu juga masa. Para saintis ketika itu sudah terbiasa dengan idea masa adalah selama-lamanya. Ia kelihatan tidak logik jika sebelum permulaan alam, tiada masa. Pasti ada masa – contoh kita katakan ada sejuta tahun SEBELUM alam ini mula wujud.

Namun, pada 1964 terdapat penemuan besar yang mengesahkan teori yang dikemukakan Leimaitre. Pekerja-pekerja Bell Labaratories ketika itu sibuk memikirkan apa kerosakan teleskop radio mereka apabila mengesan gangguan gelombang mikro yang tidak diingini. Gelombang itu agak kuat sehingga mana-mana arah mereka halakan teleskop itu, masih lagi mengesan gangguan tersebut. Dan gelombang itu mempunyai frekuensi yang tetap dan merujuk pada suhu yang tetap.

Sebenarya, gelombang itu telah dijangka oleh saintis sebelum ini. Gelombang itu (dikenali sebagai cosmic background radiation) merupakan saki-baki hasil letupan besar Big Bang. Sama macam bunga api tadi, letupan itu menghasilkan haba dan unsur-unsur lain (remnant). Namun teori ini masih lagi teori. Allah Maha Mengetahui.

Sesetengah sarjana Islam percaya teori ini selari dengan al-Quran berdasarkan hal penciptaan dalam ayat berikut:

"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman" (al-Anbia':30)

"Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi) dan Kami benar-benar meluaskannya." (al-Zariyat:47).

No comments:

Post a Comment